TENOM: Perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew memasuki hari kedua hari ini.
Prosiding pagi ini masih diteruskan dengan saksi ketiga yang juga pendakwah bebas, Firdaus Wong.
Dalam pada itu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di Mahkamah Majistret Tenom jam 9.55 pagi.
Ebit tiba menaiki kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam ditemani barisan peguam.
Pada perbicaraan semalam, Firdaus Wong memaklumkan mahkamah beliau melihat beberapa mesej serta gambar lucah secara terus daripada telefon bimbit milik ‘pengadu’ (identiti tidak didedahkan) yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.
Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, berkata, semua mesej dan gambar berkenaan dilihat sendiri apabila bertemu dengan ‘pengadu’ dan suami selepas laporan polis dibuat pada 7 Ogos 2021.
Terdahulu, Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom.
Menerusi pertuduhan berkenaan, Ebit didakwa menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.
Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.