comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Perbicaraan kes bunuh pemandu e-hailing bermula Februari depan

Nurima dan Saddam ketika hadir di Mahkamah Tinggi Tawau pada 24 September lalu bagi berdepan pertuduhan membunuh. – Foto NSTP

TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau menetapkan 19 hari tempoh perbicaraan kes bunuh pemandu e-hailing dihadapi bekas isteri mangsa, Nurima Juli, 35, bersama adik tirinya, Sadam Kiram, 30, bermula 24 Februari hingga 23 Mei tahun hadapan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng ketika pengurusan kes itu bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakrurrazi Ahmad Salim dan peguam lantikan Jhassary P Kang, mewakili Nurima dan Mark Rosaidey Mohd Amin yang mewakili Sadam menerusi persidangan secara Zoom, pada Rabu.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 24 hingga 28 Februari; 10 hingga 14 Mac; 14 hingga 17 April, dan 19 hingga 23 Mei.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan penyataan saksi perlu disediakan lebih awal melainkan terdapat keperluan atau alasan yang kukuh untuk tidak memberikan kenyataan saksi bagi tujuan perbicaraan.

Pada 24 September lalu, Nurima dan Saddam dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, dekat sini, antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Januari 2023.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini