comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penyelia restoran didenda RM40,000 cuba rasuah pegawai kanan imigresen

Tertuduh, Heng Siou Wei, 33 dikenakan hukuman denda RM40,000 atas kesalahan memberi suapan kepada pegawai imigresen di Bandar Meru Raya.

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman denda RM40,000 terhadap seorang penyelia restoran atas kesalahan memberi suapan kepada pegawai imigresen, di Bandar Meru Raya, di sini.

Hakim, Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu selepas tertuduh, Heng Siou Wei, 33 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapannya dalam bahasa Mandarin.

Mengikut kertas pertuduhan, Siou Wei didakwa secara rasuah memberikan suapan wang tunai berjumlah RM15,000 kepada seorang pegawai kanan Imigresen sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja-pekerjanya.

Ini berikutan pekerja-pekerjanya itu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di Malaysia di bawah kesalahan seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan melanggar syarat pas atau permit di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekitar jam tiga pagi semalam (12 September 2024).

Hakim turut menetapkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda, selain wang berjumlah RM15,000 yang digunakan bagi tujuan suapan dilucuthakkan di bawah seksyen 40 (1) (a) ASPRM 2009 kepada Kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dilakukan dibawah seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah peruntukan yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa, Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini