Tumpuan :
Mahkamah

Pensyarah warga Bangladesh didakwa cabul 2 pelajar lelaki

Pensyarah warga Bangladesh, M Rezaul Karim,54, (bertali leher) didakwa atas dua tuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki di sebuah hotel, tahun lalu. – Foto NSTP

MELAKA: Pensyarah sebuah universiti awam di Pantai Timur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan kerana mencabul kehormatan dua penuntut lelaki, tahun lalu.

Warga Bangladesh M Rezaul Karim, 54, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua penuntut lelaki berusia 23 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan dengan cara menyentuh dan mencubit kemaluan mangsa.

Kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan didakwa dilakukan di dalam bilik sebuah hotel dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 3.15 pagi dan 2.30 pagi pada 24 dan 25 Oktober 2024.

Pegawai Pendakwa Inspektor Norhayati Yusof tidak menawarkan jaminan, namun memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan jika membenarkan tertuduh sebagai warga asing diikat jamin.

Peguam Mohd Faiezad Razali memohon jaminan rendah kerana tertuduh yang bekerja sebagai pensyarah kontrak mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun.

Katanya, tertuduh sudah lima tahun tinggal di Malaysia dan memberikan kerjasama yang baik kepada pegawai penyiasat.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Mac depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini