Tumpuan :
Mahkamah

Penoreh getah dipenjara 15 tahun, 5 sebatan kerana sumbang mahram

Foto hiasan

SEREMBAN: Penoreh getah dihukum penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak perempuannya yang berusia 11 tahun, pada 2019.

Tertuduh berusia 52 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mahkamah memerintahkan hukuman terhadap tertuduh itu bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Januari 2020 dan turut mengarahkan lelaki itu dikenakan lima kali sebatan.

“Setelah mendengar rayuan tertuduh dan fakta keterangan bagi kes ini berserta faktor pemberatan dari pihak pendakwaan, mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah.

“Tertuduh juga diarahkan menjalani pengawasan polis setahun selepas tamat hukuman dan kaunseling pemulihan dua tahun dalam tempoh hukuman berjalan,” katanya.

Terdahulu, Peguam Muhamad Hafiz Leman memohon hukuman penjara minimum dikenakan terhadap anak guamnya bermula dari tarikh tangkapan dengan mengambil kira faktor umur tertuduh.

“Tertuduh berazam untuk membina hidup baharu apabila dibebaskan kelak dan menjaga ibunya,” katanya.

Manakala Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni dalam hujahannya memohon hukuman setimpal dan mengambil kira faktor kesalahan berat yang dilakukan tertuduh sebagai seorang bapa.

“Pengakuan salah bukan faktor peringanan, tertuduh sebagai bapa sifatnya melindungi tetapi telah mengambil kesempatan (terhadap anak) dan mohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah didapati melakukan sumbang mahram dengan anak perempuannya yang berusia 11 tahun ketika kejadian yang mana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin dengannya.

Kesalahan itu dilakukan kira – kira jam 8 malam hingga 12 tengah malam antara Jun sehingga Disember 2019 di dalam bilik di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga disebat, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini