comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penoreh getah didakwa rogol anak hingga hamil

Foto: NSTP

KUALA PILAH: Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol anak kandungnya sejak 2019.

Tertuduh yang berusia 52 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuaatan itu dengan anak perempuannya yang berusia 24 tahun yang mana ia tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 8 Julai lalu pada jam lebih kurang 10.30 malam di sebuah rumah di Gemencheh.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, antara bulan November hingga Disember tahun 2019 di lokasi sama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas anak kandungnya yang ketika itu berusia 20 tahun.

Bagi kedua-dua perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai dan sekiranya tertuduh melanggar syarat tersebut, jaminan akan ditarik serta merta.

Mahkamah menetapkan tarikh 26 Ogos depan sebagai sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai merogol anak kandungnya sehingga melahirkan anak dalam kejadian di Gemencheh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini