comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penolong pegawai tadbir MBMB mengaku tidak bersalah terima suapan

Foto: NSTP

MELAKA: Penolong pegawai tadbir Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan wang bernilai RM2,700 daripada sebuah pengurus sebuah syarikat pengiklanan.

Prosiding kes itu didengar Hakim Elesabet Paya Wan, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Ab Aziz, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Tadbir (Kompetensi) Gred N29 yang bertugas di MBMB didakwa menerima untuk dirinya wang tunai berjumlah RM2,200 tanpa balasan pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma, Ong Ah Siong dengan mengetahui penama dan syarikat berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan itu dengan menerima wang tunai sebanyak RM500 daripada Ah Siong tanpa balasan melalui anak penama, Ong Wei Yin dengan mengetahui perkara itu ada hubungan dengan kerja rasminya di MBMB.

Kesalahan itu didakwa di Melaka Tengah, masing-masing pada 27 Oktober 2021 dan antara 15 hingga 31 Januari 2023.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka sekali sebulan dan pasport diserah kepada mahkamah.

Selepas meneliti rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam untuk mengurangkan jumlah jaminan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat seperti dipohon pendakwaan.

Kes kemudiannya ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 14 Ogos depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini