Oleh Zahir Senapiah
Johor Bahru : Seorang Penolong Akauntan Pejabat Kesihatan Daerah Segamat, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini, atas lima pertuduhan meminta rasuah berjumlah hampir 10 ribu ringgit, enam tahun lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas kesemua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mohd Razis Zainadin, 40 tahun didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mengemukakan sebut harga kepada sebuah syarikat di mana tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit.
Sebut harga itu membabitkan kerja bekalan tali bendera tiang dan tali mesin rumput, bekalan usb mikro elektro, kerja bekalan dawai dan bateri serta kerja bekalan cenderahati pesara.
Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Kesihatan Daerah Segamat antara 18 September hingga 16 Julai 2017.
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 23 kurungan satu, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 kurungan satu, akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksima 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwaraya SPRM, Nur Mahirah Mohd Fauzi manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Hanif Hassan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sepuluh ribu ringgit dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 16 April depan untuk sebutan semula kes.