comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penolong akauntan berdepan 13 pertuduhan pecah amanah

Foto: NSTP

KANGAR: Seorang penolong akauntan di Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang milik kerajaan lebih RM80,000 di antara Jun 2018 hingga September 2019.

Tertuduh, Mohd Reimi Ismail, 45, yang juga penolong pegawai bergred W32, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim, Norsalha Hamzah.

Berdasarkan pertuduhan pertama sehingga ke-13, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah keseluruhan RM81,585.04 kepunyaan Kerajaan Negeri Perlis di pelbagai bank iaitu CIMB, Maybank dan Bank Simpanan Nasional di daerah Kangar.

Tertuduh didapati melakukan 13 kesalahan itu bermula pada 29 Jun 2018 sehingga 5 September 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang sabit boleh dipenjara sehingga lima tahun dengan sebatan serta denda.

Pendakwaan dilaksanakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala tertuduh diwakili peguam bela, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Nurul Atiqah dalam hujahnya memohon mahkamah menetapkan jaminan terhadap tertuduh dikenakan sebanyak RM50,000 memandang kesalahan yang dilakukan adalah sangat serius.

Nurul Atiqah turut agar tertuduh diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Perlis pada setiap bulan sehingga tarikh pertuduhan semula sebagai jaminan agar tertuduh tidak melarikan diri.

Peguam tertuduh, Syed Muhammad Anwar dalam mitigasi hujahan balasnya, membantah jumlah jaminan dimohon pendakwaan kerana anak guamnya hanya mempunyai RM15,000 sahaja dalam pemilikan tertuduh.

Oleh itu, Syed Muhammad Anwar memnohon mahkamah menetapkan jaminan yang minimum diberikan kepada anak guamnya.

Selain itu, anak guamnya mempunyai enam tanggungan iaitu bapanya yang uzur berusia 71 tahun, isteri serta anak yang berusia antara lima hingga 18 tahun.

Malah, sebagai anak tunggal, anak guamnya adalah seorang yang menjadi penanggung kepada hal ehwal dan kewangan keluarga.

Norsalha kemudian menetapkan tertuduh membayar RM30,000 sebagai jaminan manakala 27 Ogos hadapan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini