Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
BESUT: Seorang peniaga direman dua hari bagi membantu siasatan kes kemalangan tiga beranak yang maut ketika perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas menghadiri Majlis Konvokesyen di Putrajaya, di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Lerek, Setiu pada kelmarin.
Perintah reman sehingga esok itu dibenarkan Majistret Mahkamah Majistret Besut, Nurliyana Md Zukri.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu media melaporkan tiga beranak yang dalam perjalanan pulang dari majlis konvokesyen maut selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Kemalangan pada pukul 4.50 pagi itu meragut nyawa Kamarudin Ibrahim, 55; isterinya, Maimunah Mat Isa, 54, dan anak kedua mereka, Nur Ardiena Kamarudin, 30 tahun.
Kesemua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Anak bongsu pasangan itu, Nur Azwa Shamimi, 21 tahun, yang merupakan graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) pula cedera parah pada bahagian kaki dan tangan, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.