comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penjual kuih mengaku salah bunuh kucing dipenjara 8 bulan

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Penjual kuih dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan sengaja menyebabkan kematian seekor kucing pada 31 Mei lalu, yang turut tular di media sosial.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap Faizul Azlan Ridzuan, 47, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah apabila kes disebut semula pada hari ini.

Pada 5 Jun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan memohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kematian seekor kucing dengan cara memasukkan ke dalam guni dan campak dalam parit.

Kesalahan dilakukan pada jam 8.30 pagi, di Kota Giam, Jelutong, pada 31 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan perbuatan khianat terhadap haiwan.

Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini memohon hukuman berbentuk pengajaran diberi atas tindakan tidak berperikemanusiaan dan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya tidak diikuti oleh masyarakat.

Nadratun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama lapan bulan bermula daripada tarikh dia ditangkap.

Sebelum ini, media melaporkan video tular selama 66 saat menunjukkan beberapa individu mengambil sebuah guni dari dalam sungai dan didapati mengandungi bangkai kucing dalam guni yang berikat itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini