comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penjual kuih lakukan amang seksual, dipenjara tujuh hari, denda 

Seorang penjual kuih dipenjara tujuh hari dan didenda RM2,000 atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal di sebuah kafe di Pengkalan Chepa. – Foto ihsan pembaca

KOTA BHARU: Seorang penjual kuih mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal di sebuah kafe di Pengkalan Chepa, minggu lalu dan dijatuhi hukuman penjara tujuh hari serta denda RM2,000.

Tertuduh, Ahmad Zaquan Shahaimee @ Umeri, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berniat dengan membuat sebarang bunyi atau isyarat amang seksual fizikal dengan niat perkara itu akan didengar atau dilihat.

Perbuatan itu dilakukan di tepi sebuah kafe di Pengkalan Chepa di sini, jam 10 malam, pada 8 November 2023.

Dakwaan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa seorang wanita berusia 25 tahun pernah beberapa kali melihat tertuduh dalam keadaan duduk di atas motosikal sambil melakukan amang seksual fizikal di tepi kafe yang juga tempat kerja mangsa.

Pada 8 November lalu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang berada di kafe itu turut melihat tertuduh melakukan perbuatan sama di atas motosikalnya.

Berang dengan perbuatan tertuduh yang beberapa kali melakukan perbuatan sama, lelaki itu kemudian menghampiri tertuduh sebelum mengambil kunci motosikalnya dan menghubungi polis.

Siasatan mendapati, tertuduh sering ke lokasi kejadian untuk melakukan perbuatan lucah.

Pada 6 November lalu, ketika mangsa berjalan seorang diri, tertuduh yang menaiki motosikal mengeluarkan bunyi lucah dengan niat untuk mengaibkan kehormatan dan didengar oleh mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Syazalia memohon  hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM2,000 terhadap tertuduh serta tambahan penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda.

Loading...
Terkini