JOHOR BAHRU: Seorang penjual kelapa didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah hotel di Tampoi, Julai lalu.
Tertuduh yang berusia 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang juga anak saudara teman wanitanya di sebuah hotel di Taman Munsyi Ibrahim, Tampoi, di sini.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada kira-kira jam 10.30 pagi pada 2, 9 dan 29 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili, Syufri A Samad.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh susulan kesalahan yang dilakukan berat selain dibimbangi mengganggu saksi pendakwaan.
Namun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan jaminan berjumlah RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Bagaimanapun, Syufri yang mewakili anak guamnya memohon jaminan rendah susulan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menanggung ibunya berusia 68 tahun, yang menderita menghidap kencing manis dan sakit jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Hakim turut memerintahkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mana-mana saksi pendakwaan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Februari tahun depan bagi serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.