Tumpuan :
Mahkamah

Penjual ikan dipenjara 3 tahun, dera anak berusia setahun lebih

Mohd Syazamansyah Anak Mohd Lani, 25, dijatuhi hukuman penjara 3 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas kesalahan menganiaya anak kandungnya Oktober tahun lalu. FOTO: NSTP

TAWAU: Seorang bapa dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah menganiaya anak lelakinya berusia satu tahun 11 bulan, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Syazamansyah Anak Mohd Lani, 25, yang sebelum ini memohon dibicarakan bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah pada sebutan kali kedua.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu yang bekerja sebagai penjual ikan menganiaya hingga menyebabkan kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan fizikal di Jalan Pesisiran di sini, kira-kira jam 5 petang, 6 Oktober tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan sudah insaf dan menyesal selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

“Yang Arif, saya masih ada isteri dan anak yang perlu ditanggung serta menjaga ibu yang kini sedang menjalani rawatan dialisis. Saya ingin berubah, mohon hukuman diringankan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh terhadap mangsa yang juga anak kandungnya sendiri.

Tegasnya, kepentingan awam perlu diambil kira yang mana tertuduh dalam kes ini tergamak memukul, menggigit dan mencubit mangsa yang hanya berumur satu tahun 11 bulan ketika kejadian.

Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik berjumlah RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan selama dua tahun dan sekiranya gagal menjelaskan bon itu dikenakan hukuman penjara tambahan selama tempoh tiga bulan.

Selain itu, tertuduh juga dikehendaki menjalani program khidmat masyarakat selama 120 jam agregat dalam tempoh 12 bulan selepas bebas dari penjara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini