KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam antara dua individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan membuat tuntutan palsu.
Tuntutan palsu didakwa melibatkan projek pemprosesan makanan ikan membabitkan sebuah pertubuhan di sekitar daerah Kubang Pasu, Kedah berjumlah RM760,000 sedangkan projek pembekalan itu tidak pernah dilaksanakan.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki lingkungan antara 30-an dan 50-an dipercayai ditahan antara jam 2 hingga 3 petang, semalam.
Mereka ditahan semasa memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
“Suspek dipercayai berpakat dengan seorang pemilik syarikat yang merupakan pembekal tunggal bagi projek berkenaan berusia dalam lingkungan 50-an yang melakukan kesalahan itu dari tahun 2017 hingga 2020,” kata sumber itu lagi.
Permohonan reman kedua-dua suspek kepada Mahkamah Majistret Alor Setar, dilakukan pagi tadi.
Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor kemudiannya telah mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 15 September.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar ketika dihubungi mengesahkan penahanan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.