Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terangganu telah menahan reman seorang lelaki yang juga penjawat awam setelah disyaki menerima rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan menyokong dan memperakukan dokumen tuntutan bayaran bagi lima projek di sebuah universiti awam di negeri ini di mana nilai keseluruhannya berjumlah kira-kira RM500,000.
Suspek direman selama lima hari sehingga 10 Januari 2025.
Perintah reman telah dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Yuhanis Mohd Roslan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Terengganu pagi tadi.
Suspek berusia 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024 dengan menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik siterinya.
“Suspek telah ditangkap bersama isterinya semalam tetapi isterinya telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.