comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penjaja gerai makanan didakwa bunuh isteri

IPOH: Seorang penjaja gerai makanan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dalam kejadian di Kampung Simee, di sini, Rabu lalu.

Wong Choon Foo, 56, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga berikutan kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Yew Mee, Foong, 48, di sebuah rumah di Laluan Simee 11, Kampung Simee, di sini kira-kira jam 8.30 pagi hingga 9 pagi 12 Jun lalu.

Dia didakwa dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau jika tidak dihukum mati hendaklah dipenjarakan minimum 30 tahun dan juga minimum 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Terdahulu, media melaporkan suspek ditahan di lokasi kejadian kurang sejam selepas polis menerima maklumat orang awam mengenai wanita berusia 48 tahun yang dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di rumah itu.

Mayat mangsa ditemukan di kawasan garaj rumah itu dengan kesan pukulan di kepala, selain kesan tikaman sebanyak tiga kali pada dada.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini