JOHOR BAHRU: Seorang pemuda hanya mampu menundukkan kepala sambil menangis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Oktober lalu.
Muaz Saifullah, 23, dilihat beberapa kali mengesat air matanya sepanjang prosiding berjalan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Penjaga stor itu pada mulanya mengaku bersalah sambil menangis selepas pertuduhan pertama dibacakan jurubahasa, namun kemudian ditenangkan peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri yang mewakilinya sebelum menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Tertuduh turut membuat pengakuan tidak bersalah bagi pertuduhan kedua.
Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa dengan mencium bibir dan menghisap zakar kanak-kanak itu.
Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik tidur rumah keluarga tertuduh di Jalan Sri Stulang 1, Taman Sri Stulang di sini, antara jam 7.30 pagi hingga 6.30 petang, 30 Oktober lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertuduhan dihadapi tertuduh adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, sekiranya mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin.
“Pihak pendakwaan turut mencadangkan tiga syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu saksi, lapor diri di balai polis sebulan sekali dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah jika ada,” katanya.
Mohammad Muzammil kemudian memohon mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan lelaki bujang itu tidak mempunyai risiko melarikan diri.
“Anak guam saya mempunyai alamat tetap dan tinggal bersama keluarganya. Tertuduh bekerja di Bandar Dato’ Onn dengan gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan membantu menyara keluarganya termasuk ibu, ayah dan adik yang masih belajar.
“Tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kali pertama dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Peguam turut memberitahu mahkamah sekiranya jaminan dibenarkan, tertuduh yang tidak mempunyai pasport antarabangsa itu akan dijamin oleh bapanya dan setuju dengan syarat tambahan lain termasuk akan tinggal di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, pada jarak yang jauh daripada mangsa.
Sebelum membuat keputusan berhubung isu jaminan, Siti Noraida bertanyakan mengenai hubungan tertuduh dengan mangsa memandangkan alamat tertuduh sama dengan alamat tempat kejadian dan berdekatan dengan alamat rumah mangsa.
Pihak pendakwaan memberitahu tertuduh adalah anak kepada pengasuh yang mengasuh mangsa di rumah tertuduh.
Difahamkan, mereka tinggal di blok yang sama di perumahan berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan syarat tidak boleh mengganggu atau menghampiri mangsa dan saksi pendakwaan pada jarak enam kilometer serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 Januari depan untuk serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.