comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Peniaga tolak isteri jatuh gaung direman seminggu

FOTO: NSTP

GERIK: Lelaki yang dipercayai menolak isterinya hingga jatuh gaung dalam kejadian berhampiran KM 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, pada 27 Julai lalu, ditahan reman seminggu.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Isnin depan itu dibenarkan Majistret Savinder Singh Jugindar Singhketika suspek berusia 39 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Gerik, di sini hari ini.

Reman selama tujuh hari itu dibenarkan bagi membantu siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh.

Suspek, sebelumnya ditahan reman polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di Kedah difahamkan selama enam hari bersangkutan satu kes mendatangkan cedera mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Difahamkan juga, individu yang dicederakan oleh suspek yang merupakan seorang peniaga itu merupakan abang kandung tertuduh sendiri.

Suspek tiba ke mahkamah hari ini jam 8.50 pagi mengenakan baju T berlengan panjang tanpa corak dan berseluar jeans hitam dengan dibawa oleh pegawai serta anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Dia kemudiannya dibawa keluar 50 minit kemudian iaitu sekitar 9.40 pagi sebelum menaiki van warna hitam polis.

Suspek berjaya ditangkap pada 31 Julai lalu oleh pihak IPD Baling kerana pembabitan suspek dalam kes yang berlaku di daerah pentadbiran IPD berkenaan.

Suspek kemudiannya ditangkap semula oleh IPD Gerik pada semalam iaitu sejurus siasatan kes di IPD Baling selesai.

Suspek dikatakan cuba membunuh isterinya yang berusia 32 tahun dengan cara mencekik serta menolak mangsa ke gaung yang difahamkan sedalam 10 meter hingga mengalami kecederaan yang difahamkan termasuk patah dan retak tulang belakang.

Mangsa ditinggalkan di tempat kejadian dan dilapor merangkak naik ke arah jalan raya susulan kecederaan dialaminya sebelum dia ditemui orang awam yang lantas mengubungi polis.

Mangsa kemudian dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Gerik untuk diberi rawatan awal susulan didapati mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan sebelum dihantar menerima rawatan di Hospital Taiping.

Sebelumnya, suspek dikatakan membawa mamgsa dari Kuala Lumpur menuju Perak atas alasan mahu pulang ke kampung dengan sepanjang perjalanan itu berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka yang turut membawa kepada mangsa dikasari selain diugut bunuh oleh suaminya itu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood sebelum ini turut dilapor berkata, suspek juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Kesalahan Kecil; dan Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini