Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
BESUT: Seorang peniaga sayur didakwa di Mahkamah di sini, hari ini atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga, pada Isnin lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) ke atas Muhammad Maani Salleh, 24, dibacakan dihadapan Majistret Mahkamah Majistret Besut, Nurliyana Md Zukri.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu pikap di jalan raya secara melulu sehingga menyebabkan kematian Kamarudin Ibrahim, 55, isterinya, Maimunah Mat Isa, 54, dan anak kedua mereka, Nur Ardiena Kamarudin, 30,
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 35 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu – Kota Bharu dekat Kampung Sungai Lerek kira-kira pukul 4.30 pagi, pada 25 November 2024.
Sabit kesalahan dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.
Selain itu, jika disabit kesalahan, tertuduh akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapat lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.
Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan lesen memandu digantung sementara tarikh sebutan semula serahan dokumen pada 6 Januari 2025.
Di mahkamah sama, tertuduh juga didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1987.
Pada 25 November 2024 bertempat di tandas pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, tertuduh didapati telah memasukkan bahan dipercayai dadah jenis Nimetazepam ke dalam badan.
Pendakwaan ke atas tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee dan tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Media pada Selasa lalu melaporkan mangsa, Kamarudin dan isterinya, Maimunah serta anak kedua mereka, Nur Ardiena maut selepas kereta Perodua Axia dinaiki dirempuh kenderaan pikap sewaktu perjalanan pulang ke rumah di Kota Bahru, Kelantan selepas meraikan majlis konvokesyen anak bongsu pasangan itu, Nur Azwa Shamimi di Putrajaya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.