Tumpuan :
Mahkamah

Peniaga mengaku salah bersubahat jadi saksi perkahwinan tanpa kebenaran pendaftar

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga didenda RM5,000 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini kerana bersubahat menjadi saksi perkahwinan tanpa kebenaran pendaftar.

Che Sembilan Che Ngah, 67, turut berdepan hukuman penjara satu tahun sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Nazri Yusof selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 137 yang dibaca bersama Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 137 enakmen yang sama.

Mengikut fakta kes, satu siasatan dibuat terhadap perkahwinan pasangan yang berlaku di wilayah Narathiwat, Thailand pada 7 Ogos 2022.

Hasil siasatan lanjut semasa perkahwinan itu, tertuduh didapati mengambil bahagian dalam perkahwinan tersebut sebagai saksi kepada pasangan berkenaan.

Perkahwinan itu juga tidak mendapat kebenaran daripada pendaftar.

Sebelum ini, tertuduh didenda RM3,500 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan atas kesalahan sama pada 22 Oktober 2023.

Terdahulu, Mohd Nazri memberi amaran hukuman lebih berat iaitu hukuman pemenjaraan akan diberikan kepada tertuduh sekiranya melakukan kesalahan sama selepas ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini