Tumpuan :
Mahkamah

Peniaga keropok dipenjara 40 bulan, pukul isteri mengandung guna tukul, alat pengikis simen

Ahmad Isma Mirza Ahmad Zarir, 32, dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan mencederakan isterinya menggunakan tukul dan alat pengikis simen.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga keropok dijatuhi hukuman 40 bulan penjara kerana mencederakan isterinya yang sedang mengandung dua bulan menggunakan tukul dan alat pengikis simen.

Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas tertuduh, Ahmad Isma Mirza Ahmad Zarir, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya dengan menggunakan sebuah tukul dan pengikis simen.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 3 Februari lalu kira-kira jam 11.30 malam, di sebuah rumah di Taman Desa Baruh Tanjong Damai, Kuala Terengganu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara ke atas tertuduh bermula tarikh tangkap pada 4 Februari 2025.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim.

Manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini