Tumpuan :
Mahkamah

Peniaga jagung bakar letak notis berbaur perkauman didenda RM400, isteri dipenjara 3 bulan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Peniaga jagung bakar yang mencetuskan kontroversi kerana meletakkan notis berbaur perkauman di gerai jualannya di Kota Warisan, Sepang didenda RM400 oleh mahkamah, hari ini.

Isterinya, seorang warga Indonesia pula dipenjara tiga bulan selepas didapati bersalah atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Pasangan suami isteri itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang dan masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Lelaki berusia 64 tahun itu, sebelum ini ditahan bersama isterinya yang berusia 52 tahun di Jalan Labuhan Dagang – Nilai, Sepang, pada 17 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G K Shan Gopal, berkata tangkapan dibuat selepas polis menerima aduan pada 16 Februari lalu berkaitan video tular di media sosial kejadian seorang peniaga jagung meletakkan notis berbaur perkauman.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Selangor dan arahan diberikan untuk menuduh penjual jagung ini mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan bersama pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan.

“Isteri peniaga ini dituduh mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, Mahkamah Majistret Sepang menjatuhkan hukuman denda RM400 ke atas peniaga manakala isteri dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan.

“Polis Daerah Sepang menasihati orang ramai agar menjaga hubungan antara kaum dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman sehingga membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini