KUANTAN: Seorang peniaga peralatan ikan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan barang kawalan diesel tanpa lesen sebanyak 96,542 liter tahun lepas.
Hakim Maimoonah Aid menjatuhkan hukuman itu terhadap Eng Ching Huang, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan turut mengarahkan lelaki itu di penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
OKS membayar denda berkenaan.
Eng mengaku melakukan kesalahan memiliki barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu bahan api diesel dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.
Perbuatan itu dilakukan di Jeti 2, Lorong Industri Tanah Putih Baru, Tanah Putih di sini, pada 8 Mac tahun lalu.
Bagi perbuatan itu, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen.
Bagi kesalahan terbabit, tertuduh boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2015) yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Eng yang tidak diwakili peguam merayu supaya denda minimum dikenakan terhadapnya atas alasan mempunyai pendapatan sekitar RM2,000 sebulan dan perlu menjaga ibu bapa yang sakit serta perlukan rawatan hospital.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang Syamsul Kahar Ahmad Nadri bagaimanapun meminta hukuman yang setimpal dikenakan terhadap OKS supaya dia insaf dan tidak mengulangi kesilapan sama selain mengambil kira kepentingan awam serta perbuatan OKS yang memberi impak negatif terhadap kewangan negara.
Media sebelum ini melaporkan menerusi Ops Tiris, KPDN Pahang menemukan enam tangki penyimpanan minyak diesel dan beberapa peralatan digunakan untuk memindahkan minyak serta dokumen berkaitan transaksi penjualan di sebuah stor di Tanah Putih Baru, di sini pada 8 Mac 2023. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.