JOHOR BAHRU: Seorang pengurus projek, sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM50,000, dua tahun lalu.
Tertuduh Zairulnizam Rohani, 47, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman
Tertuduh didakwa menerima suapan daripada sebuah syarikat pembinaan berjumlah RM50,000 menerusi tiga pemindahan wang atas talian ke dalam akaun milik isterinya.
Ia sebagai upah bagi membantu syarikat pembinaan itu mendapatkan kerja membina dan menyiapkan projek lebuh raya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Taman Universiti Skudai pada 7, 12 dan 13 Disember 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) boleh dihukum mengikut Seskyen 24 (1) Akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara maksima 20 tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi semua tuduhan.
Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Asmah Zainal Ariffin manakala tertuduh diwakili Peguam, Mohd Salleh Tugimin.
Mahkamah menetapkan 24 Febuari depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, 11 individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman selepas disyaki meminta dan menerima rasuah membabitkan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai RM1.6 billion.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.