comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengurus percetakan didakwa guna mesin cetak tanpa lesen terbitkan bahan lucah

Oleh: Atikah Azlan

KUALA LUMPUR: Pengurus syarikat percetakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menggunakan mesin cetak tanpa lesen yang sah serta menghasilkan penerbitan lucah di sini, hari ini.

Pengurus syarikat tersebut, Chin Chang Swee, 44, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendakwa tertuduh didapati menggunakan mesin cetak tanpa lesen dan menghasilkan penerbitan lucah di Kilang Advance Cell Corporation di Desa Tun Razak sekitar jam 10 pagi pada 21 Jun lalu

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 3(4) dan Seksyen 4(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), masing-masing memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa KDN Kuala Lumpur, Muhammad Aliff Zahril Mohd Azhar mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Adam Haikal yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah membenarkan jaminan yang rendah pada kadar RM5,000 ke atas anak guamnya itu atas alasan menanggung ibu bapanya yang sudah uzur.

Sejurus mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Izralizam membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu selain menetapkan 6 Januari tahun depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini