KOTA TINGGI: Pengurus Kafe Ikhwan milik GISB Holdings (GISBH) di Kluang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, di sini hari ini, atas empat pertuduhan memperdagangkan orang.
Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hassan.
Dia didakwa memperdagangkan empat individu berusia antara 30 hingga 57 tahun, termasuk tiga wanita bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Pengerang, di sini.
Mohamad Sohaimi ditduh melakukan kesalahan itu bersama dua suspek yang telah dituduh, Mahmad Hamal Tukiman dan Rabiahtul Adawiah Md Shash serta dua suspek masih bebas, Afizah Arifin dan Norafiratul Abidah Ismail, antara Mei 2024 hingga 1 Oktober lalu.
Dakwaan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid, manakala peguam, Muhammad Zahier Rosli mewakili tertuduh.
Mahkamah menetapkan RM5,000 jaminan bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh juga diperintah melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.
Mahkamah membenarkan jaminan selepas Ahmad Khairuddin mengesahkan tertuduh tidak lagi tertakluk di bawah tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Mahkamah
Pengurus kafe milik GISBH dituduh perdagang orang
Loading...
Terkini