Oleh: Aliyaa Azmi
SHAH ALAM: Seorang pengurus gudang alat kesihatan didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memiliki 4,335 peralatan seks pelbagai jenis.
Majistret, Ameera Mastura Khamis menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Goh Wei Keang, 30, mengaku bersalah.
Mahkamah turut memerintahkan barangan rampasan kes diserahkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tujuan pelupusan.
Wei Keang didakwa memiliki sebanyak 4,335 alatan mainan seks dalam gudangnya di Jalan Industri 6, Kampung Baru, Sungai Buloh, jam pukul 11 pagi pada 30 November tahun lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan penguatkuasa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN Putrajaya telah menyerbu sebuah gudang dalam keadaan secara terbuka dengan tertuduh mengaku sebagai pengurus premis itu.
Hasil pemeriksaan merampas pelbagai peralatan seks dengan siasatan mendapati alatan itu dijual dan diiklankan melalui beberapa aplikasi dalam talian.
Wei Keang yang tidak diwakili peguam merayu pengurangan hukuman susulan terpaksa menanggung ibu dan adiknya yang berusia 20 dan 60 tahun.
“Saya juga tidak buat lagi perniagaan seperti itu (selepas ditangkap) dan berjanji tidak akan mengulanginya,” tegasnya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa KDN Selangor, Siti Mazlini Ahmad Zawawi memohon hukuman setimpal melihat kepada keseriusan kes tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.