comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengurus besar didakwa pertuduhan pengubahan wang haram RM700,000

FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Seorang pengurus besar syarikat import dan eksport dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan memasukkan wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM700,000 ke dalam akaun bank.

Bagaimanapun, Mohd Fami Sharin, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fami didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi dengan memindahkan wang RM533,968.50, RM 41,006.72 dan RM95,000 hasil aktiviti haram.

Wang daripada akaun milik Syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd dipindahkan ke akaun masing-masing milik Syarikat 22 Jelira Resources; rakannya, Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Nor dan Syarikat Astana PLG Sdn Bhd.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Ampang Point di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, antara 18 Mac hingga 19 September, 2021.

Tertuduh sebagai pengurus besar Syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram mengikut perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dibaca bersama perenggan 87(1)(b) akta sama yang boleh dihukum mengikut subseksyen 4(1).

Mohd Famy boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi, memohon tertuduh diikat jamin RM70,000 selepas mengambil kira keseriusan jenayah dilakukan.

Bagaimanapun, Mohd Famy yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan kini tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan .

Sebutan kes ditetapkan pada Isnin depan – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini