Tumpuan :
Mahkamah

Penghuni pusat jagaan mengaku salah sebabkan kematian rakan

Muhammad Firdaus Zohare, 32 selepas mengakui faham serta mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penghuni pusat jagaan di Jalan Kampar, di sini, hujung Disember lalu. – FOTO: NSTP

IPOH: Seorang penghuni pusat jagaan swasta mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang penghuni lain Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Zohare, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Firdaus didakwa menyebabkan kematian Muhammad Afiq Wafiuddin Lokeman, 25, dengan niat, di sebuah pusat jagaan swasta di Ipoh sekitar jam 7.45 pagi, pada 31 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ketika prosiding, tertuduh memohon untuk menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, dengan alasan pernah mendapatkan rawatan di hospital itu sebanyak dua kali, masing-masing selama sebulan dan enam bulan, sebelum tinggal di pusat jagaan swasta sejak lapan tahun lalu.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan tertuduh dihantar ke hospital berkenaan selama sebulan untuk pemantauan.

Hakim turut menetapkan 18 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini