Tumpuan :
Mahkamah

Penghantar makanan dipenjara 6 tahun dan satu sebatan, tikam isteri dan anak kandung

Foto hiasan

AMPANG: Seorang penghantar makanan dipenjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana menikam isteri dan anak kandungnya dengan pisau, Julai lalu.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Syarifuddin Agussalim, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak dari tarikh tangkap bermula 28 Julai lalu.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan isteri, Nur Zalikha Idam, 33 dan anak kandung lelakinya berusia enam tahun dengan menggunakan dua bilah pisau.

Perbuatan itu dilakukan di belakang bangunan sebuah kedai serbaneka di sini pada jam 6 petang, 27 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mangsa ditikam di bahagian tangan di lokasi kejadian menyebabkan kedua-dua tercedera.

Hasil siasatan lanjut mendapati punca pergaduhan antara mangsa dan suspek disebabkan lelaki itu tidak mahu bercerai dengan isterinya.

Mohd Syarifuddin yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan berjalan serentak dari tarikh tangkap.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin memohon hukuman berbentuk pengajaran bagi kedua-dua pertuduhan.

“Kesalahan dilakukan tertuduh adalah kes serius berikutan membabitkan penggunaan senjata iaitu pisau sehingga mencederakan isteri dan anak kandungnya.

“Ini juga sebagai pengajaran kepada orang dan kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini