Tumpuan :
Mahkamah

Penghantar makanan didenda RM5,000 miliki foto, video lucah remaja perempuan

Remaja yang juga penghantar makanan didenda RM5,000 kerana memiliki gambar dan video lucah kenalannya. FOTO NSTP

MUAR: Seorang penghantar makanan didenda RM5,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan memiliki foto dan video lucah remaja perempuan di Kluang, tahun lalu.

Remaja berusia 19 tahun yang juga bekas pelajar sebuah kolej kemahiran itu membuat pengakuan terbabit melalui pertuduhan pilihan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki beberapa keping foto dan video lucah milik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Perbuatan dilakukan di pejabat pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada jam 2 petang, 4 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mengenali mangsa melalui Telegram sebelum berjumpa di dataran Kluang pada jam 4 petang, 21 Jun tahun lalu.

Tertuduh membawa mangsa ke rumahnya lalu merakam video bogel. Tertuduh pada hari berikutnya meminta mangsa membuat rakaman lain dan jika tidak menuruti arahan itu, dia mengugut menyebarkannya.

Mangsa ketakutan dengan ugutan itu lalu membuat laporan polis pada 2 Julai dengan tertuduh ditahan jam 4 petang keesokan hari di hadapan sebuah kolej kemahiran, dengan telefon bimbitnya dirampas.

Pemeriksaan dalam telefon bimbit tertuduh menemui beberapa keping gambar dan video dengan bahan lucah terbabit turut disahkan dalam laporan forensik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan dan Diyana Najiha Muhamed Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Shuhadah Mahzan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini