Tumpuan :
Mahkamah

Penghantar barang, Juruanalisis didakwa jadi ‘keldai akaun’ dengan serah kad ATM

Kedua-dua tertuduh di bawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini. FOTO: NSTP

BALIK PULAU: Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menjadi keldai akaun.

Muhamad Harizi Abu Bakar, 28, didakwa bagi pertuduhan pertama memiliki wang berjumlah RM10,800 milik Aalban Sudesh George, 31, dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).

Tertuduh didapati telah menyerahkan kad ATM miliknya kepada Alvin Lim, yang beralamat di Jalan Puchong, Kampung Bohol Baharu, Kuala Lumpur, melalui penghantaran J&T.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas pada jam 6.05 petang, 13 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Harizi didakwa memiliki wang RM11,680 milik Law Teck Teong, 62, dalam akaun BSN dan tertuduh didapati telah menyerahkan kad ATM miliknya kepada Lim di alamat yang sama melalui penghantaran J&T di Lebuh Relau 9, Setia Skyvista, Bayan lepas pada jam 1.36 tengah hari, 14 November lepas.

Kedua-dua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 424B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, manakala tertuduh yang diwakili peguam Yusmadi Yusoff memohon jaminan rendah memandangkan Muhamad Harizi yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan terpaksa menyara keluarganya termasuk anak berumur dua tahun.

“Meskipun peruntukan baharu ini adalah untuk membasmi keldai akaun, namun tiada sesiapa yang boleh dianiaya khususnya golongan yang lemah,” kata Yusmadi.

Di mahkamah yang sama, seorang juruanalisis turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki wang berjumlah RM750 milik Yeoh Pei Ling, 42, dalam akaun Hong Leong Bank, dan tertuduh didapati telah menyerahkan kad ATM miliknya kepada Koo Sin Lung di Jalan Sri Klebang 1, Bandar Baru Sri Klebang, Chemor, Perak.

K.Kalai Vani, 44, didakwa melakukan kesalahan tersebut di Mukim 8, Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Bayan Lepas di sini pada 12.42 tengah hari, 12 Disember lepas mengikut seksyen yang sama.

Lim mencadangkan jaminan RM10,000, namun tertuduh yang diwakili M.V.Yoges merayu untuk jaminan yang rendah dengan alasan wang yang terlibat hanya RM750 selain anak guamnya merupakan penanggung kewangan tunggal keluarganya dengan pendapatan RM3,500 sebulan kerana suaminya kehilangan kerja.

Yoges memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah menyerahkan kad ATMnya kepada peminjam ‘ah long’ untuk proses peminjaman wang dan satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara tersebut serta tertuduh mengalami beberapa masalah kesihatan termasuk masalah hormon dan menjalani pembedahan buku lali.

Majistret Chia Huey Ting kemudian membenarkan Muhamad Harizi diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 27 Jan depan untuk sebutan kes manakala jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin bagi Kalai Vani sebelum menetapkan 22 Januari 2025 bagi sebutan kes.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini