comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] CEO Aman Palestin antara tiga didakwa pecah amanah lebih RM39 juta

Oleh: Hilmi Abdul Malik

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin antara tiga yang berdepan 164 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penipuan berjumlah lebih RM39 juta.

Tertuduh, Awang Suffian Awang Puit, 51, sebagai CEO, Abdullah Zaik Abd. Rahman, 57 dan Khairudin Mohd. Ali, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun, di sini, hari ini.

Kesalahan itu dilakukan bagi tempoh antara tahun 2018 sehingga 2023.

Berdasarkan pertuduhan, Awang Suffian dan Abdullah Zaik masing-masing didakwa dengan 52 pertuduhan pecah amanah dana milik Aman Palestin berjumlah RM21,146,498.80 antara 12 Mac 2018 hingga 3 November 2023.

Pendakwaan bagi kedua-dua mereka dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, sekiranya didapati bersalah.

Dalam pada itu, kedua-dua mereka yang juga merupakan Pengarah Syarikat Samudra Champa Sdn. Bhd. turut berdepan 19 pertuduhan menggunakan hasil dari aktiviti haram berjumlah RM12,713,771.60.

Kesalahan itu dibuat bagi tujuan pembelian sebuah rumah Semi-D, kilang pejabat serta rumah kedai dua dan tiga tingkat masing-masing terletak di Kajang, Bandar Baru Bangi, Selangor; Batu Pahat, Johor; Kangar, Perlis; Ipoh, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Selain itu, mereka turut didapati menggunakan dana berkenaan bagi pembelian empat lot tanah di Hulu Selangor serta kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Sementara itu, Khairudin yang merupakan pengurus sebuah syarikat pelaburan pula berdepan tiga pertuduhan sama berjumlah RM6,038,016.30 antara 3 Jun 2022 hingga 23 September 2023.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Wirna Rifin @ Arifin, Nurul Atiqah Mohamad Alias dan pegawai pendakwa Farhana Ismail.

Manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Siti Mardhiyyah Zamani dan Datuk Zamani Ibrahim.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM1 juta.

Sementara itu, Khairudin pula diarah membayar wang jaminan RM200,000.

Kesemua mereka juga diarahkan menyerahkan passport serta syarat tambahan masing-masing bersama seorang penjamin.

Hakim menetapkan 13 Mac ini sebagai tarikh sebutan dan pengurusan bagi kesemua kes tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini