Tumpuan :
Mahkamah

Pengawal keselamatan ugut bunuh polis

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah / Zamri Ghani

KUALA TERENGGANU: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu atas pertuduhan menghantar komunikasi mengugut mahu membunuh pegawai dan anggota polis menggunakan aplikasi WhatsApp, hujung tahun lalu.

Muhamad Hafidz Azrul Mat Nizan, 25 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam anggota polis dengan niat untuk mengugut mangsa dan orang lain.

Kesalahan dilakukan pada 22 November hingga 24 Disember 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mahkamah menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh dibenar diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Loading...
Terkini