MUAR: Pengawal keselamatan yang pernah menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney kerana merogol ketika bawah umur, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan sama hingga menyebabkan pelajar berusia 15 tahun hamil lima bulan.
Tertuduh, Muhammad Zainuddin Zahir, 28, yang masih bujang bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pelajar berusia 15 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat, antara 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi, pertengahan Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.
Berdasarkan laporan, tertuduh baru mengenali mangsa sebelum membawanya ke rumah datuknya dan melakukan perbuatan itu.
Bagaimanapun, awal bulan ini, polis menerima laporan pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) memaklumkan seorang pelajar hamil lima bulan.
Sebelum itu, pelajar terbabit dibawa ke HSNI untuk menjalani pemeriksaan namun doktor merawatnya mendapati remaja itu sedang hamil.
Semakan mendapati tertuduh memiliki dua kes rogol pada 2012 dan 2014 masing-masing diperintah menjalani hukuman bon berkelakuan baik dan dihantar ke Sekolah Henry Gurney.
Selain itu, tertuduh juga memiliki rekod jenayah pecah rumah dan juga curi kenderaan pada 2013.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin memandang tertuduh mempunyai rekod berkaitan kes sama sebelum ini selain bimbang dia melarikan diri.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 15 Januari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.