KUALA TERENGGANU: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menghantar komunikasi mengugut mahu membunuh pegawai dan anggota polis menggunakan aplikasi WhatsApp, hujung tahun lalu.
Muhamad Hafidz Azrul Mat Nizan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam sifatnya kepada anggota polis dengan niat untuk mengugut mangsa dan orang lain, antara 22 November hingga 24 Disember 2022.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Lelaki berkenaan berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Musa.