Tumpuan :
Mahkamah

Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah miliki 3 parang

Pengawal keselamatan, Nik Azahar Mohamed, 51, didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan memiliki tiga bilah parang tanpa maksud yang sah di kawasan Taman Kub, Kampung Chica, Kubang Kerian. – FOTO NSTP

KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas tuduhan memiliki tiga bilah parang tanpa sebab yang sah, Isnin lalu.

Tertuduh, Nik Azahar Mohamed, 51, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Tertuduh didakwa memiliki tiga bilah parang masing-masing berukuran 51cm, 60cm dan 62cm.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan Taman Kub, Kampung Chica, Kubang Kerian di sini, jam 2.10 pagi, pada 13 Januari 2025.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Husni Mubarak Ghazali.

Kamarul Hasyime tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh.

Sementara itu, Muhammad Husni memohon jaminan paling minimum dikenakan kepada anak guamnya kerana perlu menanggung isteri, seorang anak dan hanya berpendapatan RM700 sebulan sebagai pengawal keselamatan secara sambilan.

Muhammad Husni berkata, anak guamnya dan isteri juga mengalami masalah kesihatan iaitu penyakit buah pinggang serta kencing manis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini