Oleh : Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen disini atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tiri perempuannya sejak 2020 hingga bulan ini.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas semua tuduhan dibacakan dihadapan hakim, Siti Noraida Sulaiman.
Tertuduh yang berusia 47 tahun itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap anak tirinya yang kini berusia 13 tahun di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bandar Uda Utama, Taman Perling Johor Bahru.
Semua tuduhan dibuat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan.
Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara lima tahun serta sebatan maksima 2 sebatan.
Mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, supaya tertuduh dihantar di Pusat Tahanan Reman Ulu Choh sementara menunggu tarikh menjatuhkan hukuman pada 21 Ogos depan.
Sementara itu di Mahkamah Majistret pula, tertuduh dihukum penjara 10 hari dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lagi anak tirinya yang juga kembar kepada mangsa cabul.
Majistret A. Shaarmini memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak tirinya yang kini berusia 13 tahun di lokasi sama antara 2020 hingga Jun lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang mambawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau boleh denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.