ALOR SETAR: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM4,500 terhadap seorang pengawal keselamatan yang mengaku bersalah atas tuduhan mencuri wang tunai RM200,000 pada 19 November lalu.
Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor turut menetapkan hukuman penjara tambahan setahun ke atas tertuduh, Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, jika dia gagal membayar denda yang ditetapkan.
Terdahulu, tertuduh semalam mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan secara bersama dua rakan sekerjanya melakukan jenayah mencuri wang berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Muhd Fairul secara bersama dua rakan sekerja didakwa mencuri wang tunai RM200,000 yang dalam milikan majikan mereka iaitu syarikat Kawal Wiramas Sdn Bhd di lampu isyarat Taman Kristal, di sini, pada jam 10.34 pagi, 19 November lalu.
Bagaimana pun, dua tertuduh lain iaitu Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadap mereka dan mohon dibicarakan.
Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Terdahulu, peguam yang mewakili Muhd Fairul iaitu Mohd Khairul Afizuddin Ramli memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh yang belum berkahwin, bertanggungjawab menjaga kakaknya yang menghidap penyakit buah pinggang.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya R Jayasri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada orang ramai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.