comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengasuh mengaku tidak bersalah abai kanak-kanak hingga lemas

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak perempuan asuhannya berusia tiga tahun sehingga kanak-kanak itu lemas di sebuah rumah di Wangsa Maju, dua minggu lepas.

Siti Aina Nurnisa Mohammad Sai’d, 25, didakwa dengan sengaja menganiaya dan mengabaikan kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan kematian akibat rendaman di sebuah unit pangsapuri di Lojing Height, Wangsa Maju dekat sini antara 11 pagi hingga 11.20 pagi, 20 September lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan, sekali pada setiap bulan.

Peguam Muhammad Irsyad Mohamad Hassan yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM2,000 atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan.

“Tertuduh mempunyai tiga anak berusia tujuh tahun, lima tahun serta anak bongsu berusia setahun yang masih menyusu badan. Selain menjaga ibu, anak guam turut menjaga bapanya yang terlantar akibat kecederaan di kepala,” kata peguam itu.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November ini untuk sebutan kes.– BERNAMA

Loading...
Terkini