Tumpuan :
Mahkamah

Pengasuh taska suspek kes bayi 8 bulan maut dituduh di mahkamah pagi ini

Suspek pengasuh direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia 8 bulan di sebuah taska pada 7 September lalu. – Foto NSTP

MELAKA: Seorang pengasuh sebuah taska di Kelemak di sini yang sebelum ini direman seminggu kerana menjadi suspek kematian bayi lapan bulan di premis itu, akan dituduh di Mahkamah Alor Gajah pagi ini.

Suspek sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada Sabtu minggu lalu, Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri membenarkan permohonan polis untuk menahan reman wanita berusia 34 tahun itu selepas mendengar permohonan pegawai penyiasat polis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Reman terhadap suspek berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, sebelum ini dilaporkan berkata suspek yang juga ibu tiga anak berusia dua, enam dan lapan tahun itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) kira-kira 3.30 petang Jumaat minggu lalu di taska terbabit.

Menurutnya, tangkapan dilakukan selepas menerima satu laporan daripada kakitangan Hospital Alor Gajah selepas menerima seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mengikut laporan, mangsa dihantar ke taska oleh datuk dan ibunya pada jam 7.05 pagi, namun pada 9.05 pagi, pihak taska menelefon si ibu memberitahu bahawa tubuh bayi berkenaan dalam keadaan biru.

“Datuk dan ibu mangsa terus ke taska dan mendapati muka bayi berkenaan sudah menjadi biru dan hidungnya berdarah serta mangsa dalam keadaan terkulai,” katanya.

Media sebelum itu melaporkan bapa bayi itu, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, terkilan dan sedih kerana mangsa didakwa dibedung, disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup dengan bantal oleh suspek.

Mohd Fikry Amri yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi mendakwa perbuatan pengasuh di taska itu terhadap bayinya, Muhammad Al Fateh Mohd Fikry Amri dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini