KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kecederaan terhadap bayi lelaki berumur setahun dua bulan, Rabu minggu lalu.
Jonita Mohd Joha, 49, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kediaman di Setapak Jaya, Wangsa Maju, di sini pada jam 5 petang, 4 Disember.
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir mencadangkan jaminan RM15,000 serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam, Adam Haikal yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Hakim Dr Azrol Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 4 Februari depan untuk sebutan kes. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.