MUAR: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan dalam jagaannya, bulan lalu.
Tan Gek Chin, 50, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dikemukakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, Gek Chin selaku pengasuh didakwa mendedahkan mangsa hingga mengalami kecederaan fizikal di sebuah rumah di Taman Pagoh Jaya, di sini antara jam 7 pagi hingga 9 malam, pada 31 Oktober lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan, ibu bapa mangsa datang mengambil anak mereka sebelum mendapati kesan lebam di mata kanan dan cedera di kedua-dua telinga.
Siasatan mendapati mangsa baru sebulan dihantar ke rumah tertuduh yang menjadi pengasuhnya.
Ibu bapa mangsa kemudian menghantar anak mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tertuduh dikatakan mendakwa mangsa terjatuh ketika bermain dengan kanak-kanak lain di bawah jagaannya.
Wanita itu mendakwa mangsa memanjat kerusi dan melompat sebelum terhantuk pada meja.
Tertuduh ditahan pada hari sama untuk siasatan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ariff Marzuki manakala tertuduh diwakili peguam, Gurbinder Singh Gill.
Mahkamah menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.