KOTA BHARU: Pengasas sebuah rumah anak yatim dan tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas lima pertuduhan meliwat tiga pelajar lelakinya di Bachok dan Machang sejak April 2021 hingga bulan ini.
Muzaidi Mohamad, 30, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga kelima, Muzaidi didakwa melakukan liwat terhadap tiga kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 15 tahun.
Kesalahan dilakukan di bilik mudir di sebuah rumah anak yatim di Bachok dan di sebuah bilik tidur sebuah Maahad Tahfiz di Machang sekitar jam 10 pagi hingga 10 malam pada April 2021 sehingga April 2024.
Berdasarkan jumlah pertuduhan, empat pertuduhan membabitkan dua mangsa yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.
Terdahulu, Ahmad Faiz memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana terdapat kebarangkalian saksi pendakwaan diganggu oleh tertuduh.
Mohd Azrul Hasyimi pula memohon jaminan paling rendah dikenakan memandangkan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga dan mempunyai isteri serta anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 29 Mei sebagai tarikh serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.