KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk yang juga pengarah syarikat menjual produk berasaskan durian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401, dua tahun lalu.
Datuk John Lee Siew Neng, 59, didakwa sebagai pengarah syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn Bhd yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan syarikat, telah mengeluarkan wang syarikat itu berjumlah RM195,401 di premis berkenaan di Taman Perindustrian Kip, Sentul, di sini, antara 24 Februari hingga 25 Ogos 2022.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam, Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan perniagaannya kurang stabil.
Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 17 Februari tahun depan untuk sebutan kes.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.