comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengarah syarikat dituduh tubuh entiti asing untuk kaut keuntungan

Sabit kesalahan, tertuduh, Tan Chong Hee boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Pengarah syarikat berasaskan kayu-kayan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menubuhkan sebuah entiti perniagaan bagi manfaat sendiri tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat.

Tertuduh, Tan Chong Hee, 50, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku Pengarah Syarikat Kualiti Ayu Sdn Bhd dan Kilang Papan Seong Eng Sdn. Bhd. tanpa persetujuan mesyuarat agung syarikat telah terlibat dalam suatu perniagaan yang bersaing dengan syarikat sama.

Tertuduh telah menubuhkan satu syarikat iaitu Syarikat Nicenco Resources Sdn Bhd bagi mendapatkan secara langsung atau tidak langsung sesuatu manfaat bagi dirinya melalui hasil penjualan kayu-kayan yang berjumlah RM377,990.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah lot di Kampung Selamat, Tasek Gelugor antara 2 November 2020 sehingga 29 Mac 2021.

Bagi kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 218(1)(e) Akta Syarikat 2016.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 November.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini