Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Seorang pengarah syarikat direman lima hari sehingga 13 Februari ini kerana disyaki menerima upah daripada seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi melakukan kerja-kerja membabitkan kegiatan pengubahan wang haram.
Permohonan reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin setelah membenarkan permohonan reman dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki itu dipercayai telah menerima habuan dianggarkan lebih RM100,000 sekitar tahun 2016 hingga 2017 sebagai bayaran bagi membawa wang dari luar negara hasil penipuan pelaburan menerusi beberapa agensi pengurup wang.
Sumber berkata, wang yang dibawa menerusi pengurup wang berkenaan kemudian disuntik ke dalam akaun sebuah syarikat milik individu berprofil tinggi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan suspek pada jam 4.45 petang semalam ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.