Tumpuan :
Mahkamah

Pengarah, syarikat didenda RM18,000 gagal patuh syarat label makanan haiwan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pembekalan makanan haiwan dan syarikatnya didenda berjumlah RM18,000 oleh Mahkamah Majistret Kajang di sini hari ini, kerana gagal mematuhi syarat pelabelan makanan haiwan, bulan lepas.

Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman itu terhadap Leong Chui Hoe, 31, selaku Orang Kena Saman (OKS) mewakili Petsome (EU) Sdn Bhd, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut dan memerintahkan OKS dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Leong dan syarikatnya didakwa gagal mematuhi syarat pelabelan makanan haiwan seperti ditetapkan di bawah Peraturan 2(1)(b) dan (d) Peraturan-Peraturan Makanan Haiwan (Pelabelan Makanan Haiwan atau Bahan Tambahan Makanan Haiwan) 2012, pada 10 pagi di Gudang E Petsome (EU) Sdn Bhd di Jalan Sungai Long, Kajang, 20 Nov.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 (1) Akta Makanan Haiwan 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duannya.

Pada hari kejadian, sepasukan pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis mendapati, terdapat 21 item makanan haiwan berada di dalam premis tersebut.

Hasil pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pasukan mendapati butiran pelabelan pada kesemua 21 item makanan haiwan yang diperiksa, tidak mengandungi butiran label negara pembuat dan nama serta alamat pembuat seperti dikehendaki dalam syarat pelabelan ditetapkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran, manakala peguam Berenica Lee Yun Jing mewakili Leong dan syarikatnya. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini