comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pengarah Emraz Travel didakwa lagi, gagal patuh tribunal pengguna


MELAKA: Sepasang suami isteri pengarah syarikat pengendali pakej umrah didakwa di mahkamah atas 27 tuduhan gagal patuh perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) supaya membayar balik RM229,860 wang pakej umrah kepada sembilan bakal jemaah.

Pertuduhan terhadap Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan isteri, Datin Mazuin Mustafa, 43, serta syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz Travel) di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini dibacakan di hadapan Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman.

Emraz Travel dengan Zulkarnain dan Mazuin selaku orang kena saman (OKS) dituduh gagal mematuhi award TTPM bertarikh 12 Jun 2023 hingga 12 Januari 2024 supaya membayar balik RM229,860 wang pakej umrah kepada sembilan individu berusia 31 hingga 60 tahun, terdiri lima wanita dan empat lelaki.

Pasangan berkenaan dan syarikat mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu di pejabat TTPM Cawangan Melaka, Aras 6, Wisma Persekutuan, Ayer Keroh, antara 25 September 2023 dan 19 April 2024.

Jika sabit kesalahan, semua OKS boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau keduanya-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani mencadangkan jaminan RM2,000 seorang bagi setiap pertuduhan berserta syarat melapor diri di pejabat KPDN Putrajaya sekali sebulan.

Ia kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan awam dan semua OKS turut dikenakan jaminan ketika didakwa sebelum ini di Putrajaya atas 63 pertuduhan, Kelantan (51 pertuduhan), Seremban (51 pertuduhan) dan Johor Bahru (16 pertuduhan).

Peguam, Datuk Hanif Hassan yang mewakili semua OKS, merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya tiada risiko untuk melarikan diri kerana turut didakwa atas tuduhan sama di mahkamah lain.

Katanya, Emraz Travel juga tidak lagi beroperasi dan anak guamnya tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Mahkamah membenarkan pasangan suami isteri itu diikat jamin RM2,700 setiap seorang bagi semua pertuduhan.

Terdahulu, Hanif turut membuat bantahan awal supaya OKS dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas semua pertuduhan sementara menunggu keputusan semakan kehakiman difailkan pihaknya pada 16 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Semakan kehakiman itu berhubung bidang kuasa TTPM dalam memberikan award berkenaan, namun ditolak Sharda Shienha selepas membenarkan bantahan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 13 September depan untuk pengurusan kes dan keputusan semakan kehakiman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini